-memorable moment-

Wednesday, November 3, 2010

Waktu Yang Ku Ambil Semula

            Waktu yang aku ambil semula sebagai pendakap rasa untuk mengisi ruang muka kisah mula-mula terbitnya cereka. Buku berbalut kulit biru menjadi saksi kepada semua sisipan duka dan gembira. Pernah ku khabar dahulu, BUKAN PERMULAAN YANG PENTING, TETAPI PENGAKHIRANNYA. Sememangnya ia adalah satu titik akhir yang membawa kepada kebaikan atau kekecewaan. Pintu hati aku diketuk kuat oleh seseorang. Sesaat yang disanggah dalam berhenti berehat sebentar di perkarangan halaman aku, tersedar aku dari lamunan. Terhenti sejenak dan menyahut salam perkenalan. Bermula dari sebuah pertolongan, berakhir dengan penghargaan. Kau tahu? Semulanya rapat, Aku menjadi sasaran. Diserang persoalan dan taluan pertanyaan oleh bermacam golongan. Entah mengapa, inilah persahabatan yang diluar jangkaan. Paling banyak halangan dan dugaan. Aku cuba tempuh perlahan-lahan. 


Kini, aku meletakkan hati aku di awanan, membiarkan angin menolak ke kiri dan kanan. Bertemankan rama-rama yang berterbangan. Apa yang aku pasti, kesakitan makin bertambah apabila keperitan ditarah-tarah. Aku tidak mahu Kau tahu. Biar senyuman dan gelak tawa yang palsu menjadi diriku. Bukan hipokrit atau ego, tetapi adalah demi kebaikan semua. Aku tahu, antara kita pasti terselit seribu satu persoalan yang tidak langsung dapat diungkapkan. Bukan antara aku dan kau sahaja, tetapi, dia, kita, dan kami. Bagaimana titik tolak yang perlu lagi untuk aku mulakan? Biarkanlah. Andai ada kesempata aku untuk menemui waktu itu, adalah. Jika tiada, Yang Maha Esa lebih tahu tentang segalanya. Aku Redha dengan ketentuan. Aku Pasrah dengan perjalanan kehidupan. Mungkin ada yang lebih baik menanti ku dihadapan. Jangan risau, Kau tetap di dalam ingatan dan bermukim kerajaan hati ini. Walaupun ada yang cuba juga memecah masuk tanpa kebenaran, aku biarkan kerana tangkapan kuasa aku sudah habis aku gunakan untuk Kau. Jangan Kau tersepit dalam pencarian. Aku bukakan jalan. Pandai-pandailah kau bezakan... antara kasih, sayang, cinta dan persahabatan. Kau yang simpulkan. Selamat Jalan. Kisah KITA tinggal di sini. Biarkan ianya bersemadi dan terus memberikan aku inspirasi. Jangan Kau cari Cinta itu lagi kerana ia hanya SEKALI. 

-Rindu untuk kau sentiasa bertamu-

Wednesday, October 27, 2010

Telahan Rasa

      Meremang satu badan dengan telahan perasaan yang baru sahaja aku cuba hindarkan. Macam-macam yang kabur untuk aku gambarkan makin jelas di visualkan. Satu-per-satu episod kisah ini melangkau kalbu rindu. Ruang masa yang dipenuhi dengan sesi ta'aruf dalam mengenal diri, keluarga dan keinginan yang membawa kepada masa depan. Mata pena yang basah lagi lebat dengan air mata kebahagiaan yang merupakan dugaan dan cubaan dari Yang Maha Esa aku ingatkan. Selama mana pun yang diambil untuk menelusuri kotak hati masing-masing, aku biarkan. Sungguh begitu hasrat hati aku mula menapak menuju ke gerbang tamu ruang hati kamu. Bahagianya diriku andai kau tahu. Alhamdulillah. KEREDHAAN bertamu dalam hati yang IKHLAS, dan Allah SWT permudahkan jalan dan setiap urusan. Susah untukku temui Ikhlas yang sebenar sehingga terjadinya HARI ITU. 

      Senyuman yang mendalam membawa penghormatan terbuai diri seperti dilayan bidadari. Setiap keadaan dan situasi dapat dinikmati dan aku muatkan dalam hati di benak sanubari. Diminta agar ianya kekal abadi. Tersenyum dalam kepenatan adalah kepuasan menjalani bait-bait kehidupan yang makin samar pandangan. Saat yang tidak dapat aku garapkan. Aku jamah satu persatu perlahan-lahan sekuat daya ingatan dengan penuh KESYUKURAN. Mahu meneruskan atau berundur dahulu. Seperti sudah cukup buat masa ini tikanya aku berjalan dengan bahagia di sisi. Tidak lagi selepas ini. Andai kau tahu aku ingin meninggalkanmu, menyesalku kerana tidak berbuat sesuatu. Walaupun aku tahu kau sendiri TIDAK AKAN PERNAH KECEWA dengan sesebuah perhubungan seperti yang kau akui. Aku nekad kali ini. Berjanji dalam diri. Bukan luka yang aku cari. Akan tetapi untuk kau mengerti dan menghargai perasaan ini walau secebis kenangan tidak kau hargai. Jika kuatnya masih dikedap padu, akan ku lari laju menuju pekan perasaanku. Mana tidaknya, janji yang ku pegang. Prinsip yang ditanam (Mak dengan adat, Abah dengan pendapat.) Mana mungkin aku menidakkan. Aku perempuan. Ukuran maruah adalah keutamaan. Cukup sekali aku memberi. Tidak bermakna kau memiliki. Andai kau rasai, kau akan mengerti kerana kau mendengar dengan MATA HATI. 
      

Tuesday, October 19, 2010

Dari FIRAH AN-NUR untuk HAZWANI AZMAN. :)


Kata Firah : Ini hadiah untuk Wani.
Kata Wani : Apa benda ni?
Kata Firah : Inikan gambar persembahan Harlequin & Columbina di Denmark. :)
Kata Wani : Ohh. :) Tapi, Tak macam Harlequin wani.. :(
Kata Firah : Memang la. Ini perlambangan pada orang yang taktahu apa maksud Harlequin.
Kata Wani : Apa maksud Harlequin, Firah? 
Kata Firah : Entah! Harlequin wani kan berbeza. wani je yang tau maksudnya. 
Kata Wani : Tak banyak beza sangat. Lebih kurang je ni. haha.
Kata Firah : Apa maksud Harlequin, wani?
Kata Wani : Ada la. :) Nak tahu, cari sendiri. terang-terang jawapannya dah ada. 
Kata Firah : Firah rasa Firah tau sebab orangnya memang orang dalam gambar ni. Kan Wani?
Kata Wani : Entah. Taktahu. Biar je la. Btw, Thanks Firah. :) 

Monday, October 18, 2010

Surat Tak Sampai Untuk Harlequine.

Macam mana nak sampai kalau kata tak luah?
dua-dua tak boleh nak capai kalau masing-masing tak menggapai.

Takkan nak biar terus di awangan sambil angin menolak ke kiri dan kanan
Lantas, bila tibanya malam.. Menyanyi sedih bersama rembulan.

Bagaimana kalau tak mampu memulakan bicara?
Lidah kelu saat rasa menyelubungi jiwa.
MasyaAllah.. Hebat sungguh perit CINTA.

Di tahan, SAKIT
Di lepas, TAKUT pula!

Sampai bila pun hanya RASA yang beraja
Takkan pernah berani menguak SUKA
Biarkan SAJA.

Bila tiba masa, 
Sempat juga disabit belukar kata
Akan diterokai juga, KITA. 

Hanya perlakuan yang mampu menjawab semua tanya. 
Mengapa? kerana aku tidak pernah punya kekuatan dalam membuat pengakuan
dan kau sentiasa menunggu untuk aku mulakan.
mana mungkin bukan? 




-Untuk Kau, aku kedap HARAPAN, Harlequine-

Harta Intelek. Hak Cipta pelajar bagaimana?

Mulanya memang tidak menjangka akan ke Finas. Atas kehendak subjek, kami sekelas turutkan juga. Pada awalnya, sejujurnya memang aku tidak berapa tertarik dengan tajuk dan isu yang ingin dibincangkan. Walhal, aku lebih suka menulis dan biarkan dialog itu berpanjangan diantara mereka. Sangkaan aku meleset. Aku mula berminat dengan topik yang dibincangkan. Sesuatu yang baru yang selama ini seringkali menjadi pertanyaan kepada semua pihak, akan tetapi tiada seorang pun yang berani bertanya dan mencari jalan penyelesaiannya. Terutamanya, golongan pelajar. 

Dato' Paduka Shuhaimi Baba, Tuan Ahmad Puad Onah dan Dr. Nazurah (Pensyarah Undang-Undang di  UKM) merupakan panel jemputan yang hadir untuk mendiskusikan isu Untung dan Ruginya harta intelek itu pada siapa? Setiap pendapat aku kira sama dan memandang dari sudut yang positif. Setiap yang dibincangkan ahli panel membawa kepada jalan keluar yang selama ini para pengkarya masih kabur. Aku teruja dengan soalan-soalan yang dikemukakan oleh Dato' Paduka Shuhaimi Baba. Penggiat aktif seperti beliau sememangnya memerlukan info tentang hakcipta mereka untuk dijaga. 

Soalan aku kepada Panel  Dr. Nazurah : Setiap dari kami perlu menghasilkan karya seperti cerpen, skrip, puisi dan sebagainya bagi memenuhi kehendak subjek. Apakah hak cipta kami itu dipelihara? Bagaimanakah langkah yang harus diambil untuk kami menjaga hakcipta kami supaya tidak diambil oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab? Seperti sedia maklum, setiap dari hasil kerja kami yang kami hantarkan adalah berbentuk soft copy dan hard copy. Jika salah satu dari karya kami dipaparkan satu hari kelak tanpa pengetahuan pengkarya tersebut, apakah langkah dan bukti untuk kami usulkan kepada mahkamah dalam mendapatkan semula hakcipta kami?

Dengan jawapan yang diberikan Dr. Nazurah, aku dan rakan yang lain berpuas hati dengan cara yang dikemukakan beliau. Ia sedikit sebanyak membantu kami dalam menjaga hakcipta kami sendiri. Tak kisahlah apa orang nak cakap, yang penting diri sendiri tahu akan kualiti sebenar karya itu. Kadangkala, kita tidak perlu terlalu mendengar kritikan orang lain untuk menghasilkan yang terbaik. Tetapi, cukup dengan kesedaran  sikap untuk berubah dan berani menghasilkan sesuatu yang lebih dinamik dan matang. InsyaAllah. Setiap, karya, ku kira mampu memberikan impaknya yang tersendiri. Alhamdulillah..Oleh kerana pertanyaan itu, aku sendiri di pelawa oleh seorang Editor dari Tunas Cipta untuk menghantarkan karya ku ke DBP. InsyaAllah, jika rezeki berpihak kepada aku, adalah ruangan hasil karya ku kelak. Amin. Terima Kasih kepada semua yang terlibat.