-memorable moment-

Tuesday, November 30, 2010

SEMENTARA MASIH ADA.

Sesak nafasku dalam mengenal erti kedewasaan. Makin banyak yang dipelajari, makin banyak kesilapan yang aku lakukan. Terkadang aku seperti mahu memberhentikan masa yang berjalan tanpa henti. Tidak penatkah masa memutarkan waktunya tanpa ada rehat dan sakitnya? Tidak menyesalkan waktu yang ditinggalkan manusia tanpa sebarang pengisian bermakna? Entahlah. Jika semua tidak sabar ingin menjangkau usia, aku pula tidak mahu berganjak dari waktu. Kerana aku mulai takut akan pengakhiran pentas realitiku yang masih kosong dan kabur. Mana perginya keindahan keseronokan untuk bermain bersama-sama rakan di taman permainan. Kini, membawa pula golongan adik-adik untuk mengenali keseronokan. Esok? memimpin tangan anak untuk di bawa ke Taman Permainan. MasyaAllah.. Sepintas lalu masa meninggalkan usia untuk terus bertambah. 

SUDAH BERSEDIAKAH AKU?
Melayari bahtera kedewasaan yang bakal mewarnai diari hidupku. Selamat tinggal zaman keremajaan yang bakal berakhir dengan penuh kegembiraan dan keindahan. Zaman yang sangat aku sayangi dan hargai. Penuh dengan warna warni. Sedikit tercalit hitam, masih lagi mampu untuk aku cuci. Selepas ini? Akan aku jaga nilai peribadi dalam menjadi wanita yang berbudi. InsyaAllah. Biarlah kena pada masa dan keadaan untuk berubah ke arah kebaikan. Masih memerlukan muhasabah yang berkesan dari semua golongan untuk aku menyuntik semangat kedewasaan. InsyaAllah.. Aku masih mempunyai 57 hari dalam bergelar seorang remaja. Angka 21 sudah lama menunggu untuk menempatkan aku di situ. 

RUMAHTANGGA?
Hati masih boleh meneruskan. Akal ku tidak mahu membiarkan. Akal sentiasa tidak merelakan aku untuk mengakhirkan zaman.'Masih belum cukup ilmu,' kata si akal kepada si hati supaya aku tdak menyesal di kemudian hari. Bermakna, jalan yang berliku masih belum tamat untuk aku menjumpai jalan yang lurus dan terang untuk aku lalui. :) Semoga aku dapat memutuskan yang tepat dalam menyimpulkan keputusan. InsyaAllah. 


*Semangat dan Doa yang aku perlukan. Takut juga tersilap percaturan. Peluang hanya datang sekali. Impian takkan bersemi jika hati masih tidak diisi.