Mulanya memang tidak menjangka akan ke Finas. Atas kehendak subjek, kami sekelas turutkan juga. Pada awalnya, sejujurnya memang aku tidak berapa tertarik dengan tajuk dan isu yang ingin dibincangkan. Walhal, aku lebih suka menulis dan biarkan dialog itu berpanjangan diantara mereka. Sangkaan aku meleset. Aku mula berminat dengan topik yang dibincangkan. Sesuatu yang baru yang selama ini seringkali menjadi pertanyaan kepada semua pihak, akan tetapi tiada seorang pun yang berani bertanya dan mencari jalan penyelesaiannya. Terutamanya, golongan pelajar.
Dato' Paduka Shuhaimi Baba, Tuan Ahmad Puad Onah dan Dr. Nazurah (Pensyarah Undang-Undang di UKM) merupakan panel jemputan yang hadir untuk mendiskusikan isu Untung dan Ruginya harta intelek itu pada siapa? Setiap pendapat aku kira sama dan memandang dari sudut yang positif. Setiap yang dibincangkan ahli panel membawa kepada jalan keluar yang selama ini para pengkarya masih kabur. Aku teruja dengan soalan-soalan yang dikemukakan oleh Dato' Paduka Shuhaimi Baba. Penggiat aktif seperti beliau sememangnya memerlukan info tentang hakcipta mereka untuk dijaga.
Soalan aku kepada Panel Dr. Nazurah : Setiap dari kami perlu menghasilkan karya seperti cerpen, skrip, puisi dan sebagainya bagi memenuhi kehendak subjek. Apakah hak cipta kami itu dipelihara? Bagaimanakah langkah yang harus diambil untuk kami menjaga hakcipta kami supaya tidak diambil oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab? Seperti sedia maklum, setiap dari hasil kerja kami yang kami hantarkan adalah berbentuk soft copy dan hard copy. Jika salah satu dari karya kami dipaparkan satu hari kelak tanpa pengetahuan pengkarya tersebut, apakah langkah dan bukti untuk kami usulkan kepada mahkamah dalam mendapatkan semula hakcipta kami?
Dengan jawapan yang diberikan Dr. Nazurah, aku dan rakan yang lain berpuas hati dengan cara yang dikemukakan beliau. Ia sedikit sebanyak membantu kami dalam menjaga hakcipta kami sendiri. Tak kisahlah apa orang nak cakap, yang penting diri sendiri tahu akan kualiti sebenar karya itu. Kadangkala, kita tidak perlu terlalu mendengar kritikan orang lain untuk menghasilkan yang terbaik. Tetapi, cukup dengan kesedaran sikap untuk berubah dan berani menghasilkan sesuatu yang lebih dinamik dan matang. InsyaAllah. Setiap, karya, ku kira mampu memberikan impaknya yang tersendiri. Alhamdulillah..Oleh kerana pertanyaan itu, aku sendiri di pelawa oleh seorang Editor dari Tunas Cipta untuk menghantarkan karya ku ke DBP. InsyaAllah, jika rezeki berpihak kepada aku, adalah ruangan hasil karya ku kelak. Amin. Terima Kasih kepada semua yang terlibat.